KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER 2015 – KFC Malaysia baru-baru ini telah membuat penghantaran istimewa KFC kepada Rumah Bakti Dato’ Harun di Ampang, yang berjaya mengukir senyuman dan kegembiraan kepada 40 kanak-kanak rumah kebajikan tersebut. Penghantaran itu lebih istimewa dengan kehadiran pasangan selebriti terkenal, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, yang turut sama membuat kejutan penghantaran KFC serta beramah-mesra dengan kanak-kanak di rumah tersebut.
Majlis ceria yang dinamakan “KFC Delivery & Schawal @ Rumah Bakti” ini adalah sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat KFC Malaysia sebagai sebuah organisasi korporat untuk sama-sama berbakti kepada masyarakat.
Kakitangan KFC tiba di Rumah Bakti pada lewat pagi untuk menghias ruang legar dewan makan rumah tersebut dengan belon pelbagai warna serta hiasan ceria bagi mewujudkan suasana meriah untuk dinikmati kanak-kanak ini. Sebaik sahaja acara bermula, krew KFC Delivery serta Scha dan Awal membuat kejutan dengan menyelinap masuk ke dalam dewan sambil membawa ayam goreng KFC serta hidangan sampingan lazat lain. Aksi ini telah berjaya membuat kanak-kanak ini menjerit kegembiraan dan begitu teruja. Acara diteruskan dengan aksi-aksi yang penuh melucukan, permainan yang menyeronokkan, dan hiburan dari Awang si badut serta Scha dan Awal yang membuat mereka tak henti tertawa dengan aksi-aksi spontan dan ‘sporting’ semua yang hadir.
Kanak-kanak ini juga turut dihiburkan dengan pertunjukan silap mata, nyanyian dan tarian sebelum bersama-sama menikmati hidangan ayam goreng KFC, wedges, kentang putar, dan hidangan pencuci mulut KFC Premium Desserts dengan penjaga Rumah Bakti Dato’ Harun dan juga kakitangan KFC.
“Majlis ini merupakan satu pengalaman yang istimewa kerana dapat meluangkan masa bersama kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini begitu cekal dan bersemangat menghadapi cabaran hidup dan apabila saya melihat mereka gembira dan tersenyum, ianya sangat bermakna buat saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada KFC kerana sudi menjemput saya dan Awal,” kata Scha, Pelakon & Pengacara TV, serta jurucakap bagi KFC & Pizza Hut World Hunger Relief Malaysia yang telah dilantik pertengahan tahun ini.
“Saya amat gembira kerana dijemput dan diberi peluang untuk berinteraksi dengan kanak-kanak ini. Saya turut mengambil peluang ini untuk memberi nasihat dan kata-kata semangat untuk mereka mengejar cita-cita. Ada juga yang bertanya bagaimana nak masuk industri hiburan ini, jadi sempatlah saya memberi mereka beberapa tips untuk menjadi seorang selebriti!,” tambah Awal dengan nada berseloroh.