KFC & Pizza Hut Malaysia telah memberi sumbangan sebanyak RM200,000.00 kepada Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) dari tabung World Hunger Relief bagi usaha kerjasama mereka dalam Program Makanan Kesihatan (ProMak). Melalui program ini, 440 murid Sekolah Kebangsaan Laloh disediakan dengan makan tengahari selama 6 bulan.
Encik Ahmad Taufek Omar, Ketua Pegawai Pemasaran Digital & Teknologi Maklumat, QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd (operator KFC & Pizza Hut Malaysia) dan Jurucakap World Hunger Relief KFC & Pizza Hut Malaysia, Scha Alyahya telah menyerahkan cek repika kepada Pengurus Besar YOKUK, Sulaini Mat Il serta Mohd Azmi Mat Deris, Penolong Kanan Pentadbiran, Sekolah Kebangsaan Laloh.
Program ProMak yang telah bermula pada bulan Mei akan berterusan sehingga akhir tahun persekolahan. Objektif program ini adalah untuk menyediakan makanan yang berkhasiat kepada kanak-kanak Sekolah Kebangsaan Laloh yang kebanyakannya terjejas disebabkan bencana banjir yang menimpa hujung tahun lepas. Melalui program ini, setiap kanak-kanak diberi kotak makanan tengah hari (lunch box) ini yang dihidangkan lima kali seminggu di sekolah.
Menu kotak makanan tengah hari ini berbeza setiap hari bagi memastikan kanak-kanak ini dapat merasa pelbagai variasi hidangan menu yang menarik tanpa merasa jemu. Menu ini dipilih dengan teliti dan mengikut keperluan piramid makanan seimbang termasuk karbohidrat, protein, dan vitamin. Di samping itu, kanak-kanak ini juga diberi Kotak Nutrisi (nutrition box) untuk dibawa pulang seminggu sekali yang mengandungi minuman sihat yang diperkayakan dengan kalsium (susu coklat/minuman yoghurt/jus buah) dan makanan ringan (roti/ban sardin dan biskut oat/bijirin sarapan).
Guru-guru bertindak untuk menyelaras, memantau dan melaksanakan Program ProMak dan ianya diselia oleh Pegawai Pemakanan dari Kementerian Kesihatan dan wakil-wakil dari YOKUK.
“Program Makanan Kesihatan ini merupakan projek perintis bagi Program Pengagihan World Hunger Relief KFC & Pizza Hut dan kami amat berbangga dan berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan YOKUK untuk memberi bantuan pemakanan kepada anak-anak Sekolah Kebangsaan Laloh,” kata Ahmad Taufek Omar, Ketua Pemasaran Digital & Teknologi Maklumat, KFC Malaysia
“Malnutrisi mempunyai kesan langsung kepada mortaliti, morbiditi, pendidikan dan perkembangan otak dalam jangkamasa panjang. Badan yang sihat membawa kepada fikiran yang sihat dan objektif program ini adalah untuk menyediakan makanan yanag berkhasiat kepada anak-anak Sekolah Kebangsaan Laloh”.
“Saya juga ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelanggan KFC dan Pizza Hut yang bermurah hati menyumbang kepada Tabung World Hunger Relief. Program seperti ini dapat dijalankan kerana jasa baik pelanggan KFC dan Pizza Hut dan hasilnya, ramai individu yang layak mendapat manfaat daripada sumbangan mereka, “ tambah beliau.
“Saya berasa amat sayu bila mendapat tahu bahawa salah satu isu utama yang dihadapi oleh mereka yang terjejas selepas banjir adalah isu malnutrisi dikalangan kanak-kanak. Kanak-kanak memerlukan makanan yang berkhasiat untuk memastikan perkembangan otak dan badan yang sihat. Sebagai seorang ibu, ianya benar-benar menyentuh hati saya dan saya berasa amat gembira dan bersyukur kerana dapat memainkan peranan dalam membantu Program Makanan Kesihatan ini”, kata Scha Alyahya, Jurucakap, Kempen WHR KFC & Pizza Hut Malaysia.
“Pada akhir tahun lepas, bencana alam yang melanda Kelantan telah mengakibatkan ramai yang terpaksa berhadapan dengan kehilangan harta-benda akibat banjir. Salah satu kawasan yang terjejas adalah Kampung Laloh dan kampung-kampung sekitarnya. Mengambil kira aspek ini, kanak-kanak Sekolah Kebangsaan Laloh telah dipilih untuk program ini”, kata Sulaini Mat Il, Pengurus Besar YOKUK.
Selari dengan tahun-tahun sebelumnya, fokus kempen adalah berkaitan dengan bantuan makanan di mana dana telah disalurkan bagi membantu mereka yang kelaparan dan kurang bernasib baik. Program Pengagihan Dana WHR yang dilancarkan tahun lalu telah memperluaskan kerja pengagihannya melalui kerjasama dengan pelbagai NGO yang menjadi penggerak dalam usaha pengagihan tersebut. Selain, Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), Program Pengagihan Dana WHR juga sedang bekerjasama dengan beberapa NGO lain termasuk HOPE Worldwide Kuala Lumpur, KECHARA Soup Kitchen, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, PERTIWI Soup Kitchen, dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan.
Kempen World Hunger Relief (WHR) merupakan inisiatif tahunan dari KFC dan Pizza Hut Malaysia bagi membantu membasmi isu kebuluran di dunia telah dilancarkan pada 17 Jun 2015 dengan pelbagai inisiatif yang menarik bagi mengumpulkan dana. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, kempen WHR akan mengumpul dana melalui pembelian set hidangan “World Hunger Meal” di rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut dan setiap set hidangan yang dijual di bawah promosi ini akan dikenakan caj tambahan RM0.50 yang akan disalurkan kepada tabung WHR. Kempen selama tiga bulan ini yang bermula pada bulan Jun, turut akan menyediakan tabung derma yang diletakkan di setiap restoran KFC dan Pizza Hut. Di samping itu, kempen ini juga telah memperluaskan usahanya iaitu dengan menambah saluran menderma secara atas talian. Portal derma tersebut boleh dilayari di laman facebook World Hunger Relief www.facebook.com/WHRMalaysia bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menderma secara mudah.